Kisah ini mengenai seorang wanita tua berasal dari Perak
yang menunaikan haji.
Wanita ini, kerana sudah tua dan uzur, lutut pun lemah dan
sentiasa sakit, menggunakan kerusi roda semasa tawaf dan saie. Dia mengupah
petugas Arab menolaknya, tujuh kali pusingan tawaf dan tujuh kali berulang alik
antara Bukit Safa dan Marwah.
Beliau menunaikan tawaf rukun dan saie saja. Yang sunat tak
mampu kerana uzur. Lagi pun wangnya hanya cukup-cukup saja.
Namun, ada satu amalan mulia dimiliki Muslimah ini. Yakni
mencontohi sunnah Nabi s.a.w., mengasihani dan menyayangi kucing di desanya.
Dia amat suka memelihara kucing. Di rumahnya banyak kucing.
Dia melayan makan dan minum kucing. Dia pungut kucing yang dibuang orang,
diberikan makan dan minum, dirawat dan dimandikan dengan sabun wangi.
Walaupun banyak kucing jalanan itu lemah, sakit, kurus
kering atau lumpuh, tetap diambilnya untuk dirawat di rumahnya. Ada yang
berkudis dan sakit serius. Pendeknya rumahnya menjadi pusat kucing kurap.
Maka terkenal lah rumahnya jadi pusat rawatan kucing.
Mana-mana kucing yang mati dikuburkan di kebunnya. Demikian begitu kasih
Muslimah ini kepada makhluk Allah yang lemah lembut itu.
Justeru, ada kucing-kucing peliharaannya manja, gemuk dan
sihat, serta cantik-cantik belaka, berkat khidmatnya, yang ikhlas.
Tahun itu beliau berangkat, menunaikan haji dengan
menggunakan perkhidmatan Tabung Haji. Gembira dan sayu nian kalbunya, kerana
hajatnya untuk ke Tanah Suci, solat di Masjidilharam dan melihat Baitullah di
depan mata sudah terkabul sudah.
Ingin di hatinya untuk tawaf banyak-banyak seperti orang
muda dan sihat. Tetapi apakan daya, lututnya sakit manakala badan uzur. Setelah
solat fardu sentiasalah beliau memanjatkan doa dan pertolongan Allah, agar
hajatnya dimakbulkan.
Pada suatu hari, semasa hendak pergi solat di Masjidilharam
dengan keadaan bertongkat, beliau terjumpa seekor kucing yang kurus, comot,
lemah dan lapar.
Apabila kucing itu hendak bangun berjalan, ia jatuh berkali-kali.
Kasihan nian wanita tua itu melihat makhluk Allah itu menderita dan sengsara di
kota suci Makkah.
Lantas diambilnya kucing itu, diurutnya tubuhnya yang lemah
itu. Dibelikan sebungkus nasi berlauk dan diberikan minum air zam-zam yang
murni.
Dengan takdir Allah, kucing itu pulih dan sihat. Kucing itu
telah menggesel kaki Muslimah tadi, lalu menjilat kedua-kedua tapak kakinya.
Ajaib sungguh, kaki dan lututnya yang sakit tadi, tiba-tiba menjadi sihat dan
kuat, seperti orang muda.
Muslimah tua tadi dapat tawaf sebanyak-banyaknya, ikut suka
hatinya. Tertunailah hajat yang terbuku di hatinya selama ini, berkat menolong
seekor kucing di Makkah yang mulia itu..
Setelah tawaf wida (selamat tinggal) dan menziarahi Masjid
Nabawi, hajah yang solehah tadi berserta rombongannya bersiaplah untuk pulang
ke Malaysia.
Sewaktu hendak menaiki tangga pesawat di Jeddah, Muslimah
tua tadi terlopong melihat seekor kucing yang mirip kucing yang ditolongnya
sewaktu di Makkah dulu.
Kucing itu duduk di sisi tangga pesawat itu sambil matanya
merenung sayu padanya. Apabila Muslimah tadi sampai ke anak tangga teratas,
kucing tadi ghaiblah daripada pandangannya.
Demikianlah ganjaran dan berkat orang yang mengasihi kucing,
seperti Nabi kita s.a.w. mengasihinya di dunia ini, lebih-lebih besarlah pahala
menunggunya di alam akhirat nanti.
Allah wu'llam...
No comments:
Post a Comment